SELAMAT DATANG KE

SELAMAT DATANG KE
BLOG KAMI...

Thursday, 16 October 2014

BAB 4 – PEMBANGUNAN NEGARA

PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

FALSAFAH PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN) :
Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal dengan merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Selain daripada itu, kehidupan masyarakat Malaysia yang  terdiri daripada pelbagai kaum dan agama adalah suatu kurniaan dan kelebihan untuk dimanfaatkan. PIN juga menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara, iaitu membina masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan progresif malah berpegang teguh pada lima prinsip Rukun Negara. PIN turut dibimbing oleh falsafah dan cabaran Wawasan 2020 ke arah mewujudkan sebuah Negara yang maju.
          Sebagai sebuah pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat dan dilaksanakan untuk kesejahteraan mereka, PIN mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan Negara Malaysia. Di samping itu, PIN juga mengambil kira perkembangan antarabangsa, pengalaman Negara-negara lain serta impak arus globalisasi.

KONSEP :
PIN adalah sebuah pelan induk yang bertujuan memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sector masyarakat dan Negara. Malah, PIN juga memupuk, menyemai dan membaja system kehidupan masyarakat dan Negara dalam usaha besar membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika, sekaligus menjadi Negara yang berintegriti.
          PIN juga merupakan satu gagasan yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan wilayah. Kerjasama  antara semua pihak ini menjadi kekuatan bagi mengubah atau menambahbaik  nilai dan amalan masyarakat serta institusinya.
          Pendekatan PIN ialah mengkoordinasikan usaha semua komponen dan sector dalam gerakan permantapan integrity. PIN memerlukan keseluruhan institusi governan Negara iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman supaya integrity  mereka dapat dipertingkatkan, dihormati dan dipertahankan prinsip pemisahan kuasa, serta melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan
OBJEKTIF UMUM PIN :
Objektif umum PIN ialah untuk merealisasikan hasrat Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah Negara maju mengikut acuan sendiri dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, malah mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

OBJEKTIF KHUSUS PIN :
Objektif khusus bagi PIN adalah seperti berikut :
i.        Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika.
ii.       Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integiti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang.
iii.      Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti.
iv.      Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat.
v.       Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.


 TEKAD 2008 :
          Kearah pemantapan integriti supaya berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, maka Pelan Integriti Nasional (PIN) telah menyusun dan menetapkan sasarannya yang dikenali sebagai TEKAD 2008 untuk mencapai dalam tempoh lima tahun pertamanya (2004-2008). Terdapat lima sasaran TEKAD 2008, iaitu ;

Sasaran Pertama :
i.        Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan. Tujuan pemantauan dan penanda aras sasaran ini akan mengguna pakai tanda aras antarabangsa dan juga dalam negeri.
Sasaran Kedua :
i.        Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi. Bagi agensi yang berada dibawah kawal selia sektor kerajaan, indeks persepsi awam digunakan sebagai penanda aras.
Sasaran Ketiga :
i.        Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan. Sebagai petunjuk meningkatnya tadbir urus korporat dan etika perniagaan ialah peningkatan jumlah syarikat korporat yang mematuhi syarat-syarat penyenaraia. Kes-kes penipuan korporat ini juga berkurangan dan bertambahnya bilangan syarikat-syarikat yang menerima pakai Rukuniaga Malaysia dalam urusan perniagaan mereka juga akan dinilai untuk mengukur pencapaian yang disasarkan.
Sasaran Keempat :
i.        Memantapkan institusi keluarga. Sasaran ini memberikan penekanan untuk melahirkan keluarga yang mempunyai daya tahan yang kukuh dan kehidupan keluarga yang sejahtera dan bahagia. Pengurangan kadar perceraian, pengurangan konflik keluarga seperti isu merebut harta dan hak penjagaan anak-anak dan pengurangan kadar keganasan dalam rumahtangga adalah menjadi petunjuk kepada pencapaian sasaran ini. Selain dari itu, peningkatan bantuan kepada keluarga ibu dan bapa tunggal juga berperanan sebagai penanda aras. Kadar pengabaian warga tua dan penderaan serta pengabaian kanak-kanak perlu berkurangan dalam masyarakat dan ini juga akan digunakan untuk menentu pencapaian sasaran yang keempat ini.

Sasaran Kelima :

i.        Yang terakhir ialah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Pengurangan kadar jenayah dalam masyarakat Malaysia diambil sebagai petunjuk kepada tahap kehidupan masyarakat yang lebih selamat. Jenayah yang dimaksudkan termasuklah jenayah berat, jenayah seks dan harta benda. Kadar gejala sosial seperti penagihan dadah, perlakuan seks rambang dan bebas yang menjadi punca terhasilnya penyakit HIV dan AIDS serta pasangan yang bersekedudukan. Pengurangan kadar ini diambil sebagai petunjuk kepada kehidupan masyarakat yang lebih sihat dan bermoral. Sejak akhir-akhir ini, kes kemalangan di jalan raya yang berkurangan juga mencerminkan meningkatnya etika pemanduan dan ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.


                                                                                -AHMAD HISHAM BIN ABDUL RAHIM-

No comments:

Post a Comment